22 SEPT : Sebanyak 6,762 premis dikenakan tindakan tegas termasuk 12 digantung lesen atas kesalahan pencemaran alam sekitar.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah tersebut adalah sepanjang Januari sehingga 21 September lalu yang mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan penguatkuasan terhadap 15,344 premis mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) di seluruh negara.
Menurut beliau, isu pencemaran alam sekitar berpunca dari premis ditangani secara bersepadu menerusi Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) dengan penglibatan pelbagai agensi terutama kerajaan negeri, polis, SPAN, Jabatan Biokeselamatan, badan bekalan air dan pihak berkuasa tempatan.
“Ia merangkumi 1,267 notis Arahan, 4,529 kompaun, 750 Penahanan Operasi Kelengkapan, dua Perintah Larangan, 12 Gantung Lesen dan sebanyak 202 kertas siasatan telah dibuka.
“Sebagai perbandingan, dalam tempoh sama pada 2020, 16,432 pemeriksaan dengan 7,712 tindakan telah dikenakan yang mana 2,148 Notis Arahan, 5,354 Kompaun, 94 Penahanan Operasi Kelengkapan, 18 Perintah Larangan, 22 Gantung Lesen dan 76 kertas siasatan,” katanya ketika menggulung Titah Diraja di Dewan Rakyat bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air.
“Tindakan secara bersepadu ini meningkatkan lagi keberkesanan strategi atau tindakan yang diambil terutama dalam melaksanakan penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemar sama ada dari industri, projek pembangunan atau lain-lain punca,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja kementeriannya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan sebanyak RM9.19 bilion diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi pembinaan 98 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan saliran bandar bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara yang turut merangkumi projek sambungan daripada RMKe-11
“Sehingga bulan ini, tujuh RTB sudah siap dan kini berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP). Sebanyak 27 projek RTB sudah berada dalam fasa pelaksanaan, manakala 64 lagi di peringkat pra pelaksanaan,” katanya
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, operator air di setiap negeri yang menyediakan perkhidmatan bekalan air perlu melaksanakan mekanisme penetapan tarif air (TSM).
Beliau memaklumkan, ia adalah bagi memastikan operator air berada dalam kedudukan kewangan yang stabil dan berdaya maju untuk terus membuat pelaburan dalam infrastruktur air.
“Pada masa ini, kebanyakan operator air berada dalam kedudukan kewangan yang tidak mampan bagi memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.
“TSM berupaya mewujudkan kaedah penetapan tarif air yang telus, adil dan sistematik untuk kebaikan pengguna, industri, operator air dan kerajaan.
“Melalui TSM, pengguna akan mendapat jaminan bekalan air berterusan melalui pembinaan loji baharu, naik taraf loji dan membaiki paip usang,”katanya.
Menyentuh tragedi kepala air di Yan bulan lalu, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperuntukkan RM430,000 bagi kerja pemulihan di kawasan itu yang membabitkan baik pulih tebing dan mendalamkan sungai yang dijangka siap bulan depan.
Pada masa sama, beliau memberitahu pihak kementerian bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memuktamadkan Memorandum Jemaah Menteri Mengenai Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) yang dirangka selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara dan Dasar Automotif Negara (NAP 2020)– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH