22 SEPT : Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa Kerajaan Malaysia untuk memansuhkan skim My Travel Pass bagi warganegara Malaysia yang ingin ke luar negara.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, Skim My Travel Pass ini amat merumitkan serta prosesnya mengambil masa 14 hari sebelum berlepas.
Beliau yakin bahawa Kerajaan Malaysia dapat mengkaji semula bagi tujuan pemansuhan ini dalam masa terdekat.
“Skim MY Travel Pass ini diperkenalkan semasa nagara dilanda pandemik Covid-19 yang agak tinggi dan sehingga kini ianya tidak pernah dikaji untuk dimansuhkan memandangkan kes-kes import amatlah rendah berbanding dengan kes-kes tempatan.
“Negara Malaysia telah pun mencapai 80 peratus imuniti kelompok rakyat yang sudah lengkap dua dos vaksin dan ini sudah tiba masanya kita perlu memansuh skim MY Travel Pass ini yang mana rata-rata warganegara Malaysia telah dilindungi oleh vaksin.
“Ini sudah tentu Skim My Travel Pass ini tidak lagi relevan untuk diguna pakai pada masa sekarang.Ramai rakyat kita ingin keluar negara bagi tujuan bekerja, mejalankan perniagaan, umrah serta melancong ke negara yang berstatus hijau,” katanya menerusi kenyataan kepada PNBBC Portal, hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan semua pihak perlu memikiran untuk membuka semula pintu sempadan negara bagi membolehkan pelancong dari negara-negara hijau untuk berkunjung ke Malaysia.
Jika ianya dibolehkan, beliau menjelaskan, dengan sendiri pengaliran matawang asing akan mengalir masuk ke negara melalui pelancong-pelancong dari negara-negara hijau yang dibenarkan.
“Ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan negara yang telah lama tekesan akibat penutupan pintu sempadan.
“Banyak negara-negara barat telah pun mula membuka pintu sempadan mereka kepada pelancong dari negara-negara hijau.
“Saya yakin pelancong-pelancong yang akan keluar dan masuk ke negara Malaysia akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
Tambah beliau, ini kerana ianya telah menjadi satu norma baharu dalam kehidupan seharian.
“Sekali lagi saya menyeru agar Kerajaan Malaysia dapat memansuhkan skim My Travel Pass ini dalam kadar segera,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH