23 SEPT: Usaha menangani virus COVID-19 mencatat perkembangan baharu menerusi ujian klinikal peringkat awal menggunakan antibodi haiwan llama dinamakan Fifi.
Llama adalah sejenis haiwan daripada keluarga camelidae, sama seperti unta dan alpaca.
Rawatan daripada nanobodi iaitu versi antibodi yang kecil dan sederhana dihasilkan oleh llama dan unta secara semula jadi telah bertindak balas secara positif terhadap jangkitan itu.
Seorang daripada penyelidik utama dan pengarah Institut Rosalind Franklin di Oxfordshire, Prof James Naismith menyifatkan nanobodi sebagai kaedah yang amat mengujakan.
Apabila terapi itu diuji kepada manusia, ia boleh digunakan dalam bentuk semburan hidung untuk merawat, selain mencegah jangkitan awal COVID-19.
Beliau menjelaskan, tikus yang dijangkiti coronavirus yang dirawat menggunakan semburan hidung nanobodi itu pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hari.
Setakat ini, rawatan berkenaan hanya diuji pada haiwan makmal, namun Kesihatan Awam England memberitahu ia antara ‘agen peneutralan SARS-CoV-2 paling berkesan’ pernah diujinya.
Sama seperti antibodi manusia, nanobodi menyekat dan mengikat virus serta bakteria yang menyerang badan manusia.
Sementara itu, ahli imunologi dari Universiti Manchester, Prof Sheena Cruickshank, melihat perkembangan baharu itu sebagai sesuatu yang positif namun ia masih di peringkat awal kajian.
“Lebih banyak data mengenai keberkesanan dan keselamatan diperlukan sebelum beralih ke ujian klinikal ke atas manusia.
“Bagaimanapun, ia sangat berpotensi dan mungkin lebih murah dan antara nilai tambahnya adalah ia lebih mudah untuk diuruskan.