23 SEPT: Sebanyak 487 kes kematian COVID-19 dilaporkan semalam dengan 161 daripadanya diklasifikasikan sebagai kematian luar hospital (BID).
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi data dikeluarkan GitHub menyatakan, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian mencecah angka 24,565.
Bagaimanapun, sebanyak 19,702 kes sembuh turut dilaporkan iaitu lebih tinggi daripada jangkitan kes baharu iaitu 14,990.
Kes kematian paling tinggi dilaporkan di Selangor dengan 178 kes, diikuti Sabah (87), Johor (63), Kuala Lumpur (44), Pulau Pinang (36), Kelantan (26), Perak (18), Kedah (14), Pahang (5), Negeri Sembilan (5), Melaka (5), Terengganu (3), Perlis (2) dan Sarawak (1).
Tiada kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 201,274 kes aktif direkodkan termasuk 1,114 di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 615 memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang dilaporkan setakat ini mencecah angka 2,138,150.