23 SEPT: Kementerian Perpaduan Malaysia dalam peringkat akhir, bagi memuktamadkan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif menerusi penghayatan Rukun Negara dan juga di atas pembinaan sebuah masyarakat harmoni dan sejahtera di negara ini.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata program yang sedang dirangka itu bersifat khusus dan konkrit supaya dapat meneruskan agenda perpaduan negara.
Menurut beliau, pelan perpaduan itu penting dalam memahami perpaduan menerusi konsep Keluarga Malaysia dan mampu mewujudkan aspirasi perpaduan jelas untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang di samping dapat menggariskan anjakan strategi dan inisiatif baharu yang bersasar serta komprehensif seperti yang diharapkan.
“Rangka yang sedang kita bangunkan di bawah Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia ini juga akan memacu pelaksanaan strategi dalam usaha mencapai dasar perpaduan negara yang telah ditetapkan melalui tiga aspirasi penting.
“Yang pertama, mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan kepada perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dalam usaha kita untuk membina rakyat patriotik, demokratik. Kedua pula, untuk membentuk identiti nasional dengan semangat kekitaan, prihatin, inkusif, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab.
“Terakhir adalah melahirkan rakyat Malaysia yang akan membudayakan perpaduan untuk kita terus mengukuhkan ekosistem perpaduan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja kementeriannya di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Halimah memaklumkan penghasilan dokumen bagi pelan tersebut akan mengambil kira daripada pelbagai sudut yang meletakkan perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai asas kepada pengukuhan perpaduan itu.
“Dalam nak memantapkan lagi aspirasi tersebut, kementerian juga sedang memuktamadkan pelan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) rakan rakan perpaduan bagi menyokong pelaksaan program perpaduan itu.
“Ini dilakukan supaya dapat dibudayakan di kalangan Keluarga Malaysia bukan sahaja usaha-usaha yang kita laksanakan secara bersendirian atau berasingan namun turut membawa pihak NGO, swasta dan sebagainya untuk bersama,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab persoalan Ahli Parlimen Amanah Tampin, Hasan Bahrom, Halimah memaklumkan, tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia kerana ndang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi.
“Perlembagaan persekutuan telah peruntukkan semua sama di sisi undang-undang di mana berhak dapatkan perlindungan sama rata dan adil serta diskriminasi warga negara tidak boleh diamalkan sama sekali atas alasan agama, keturunan, warna kulit dan sebagainya.
“Saya ingin memaklumkan undang-undang sedia ada memadai kepada sesiapa sahaja yang sengaja mencetuskan atau mengeluarkan kenyataan yang mampu menggugat keharmonian dan perpaduan kaum boleh disiasat. Jadinya, saya ingin maklumkan tiada keperluan kerajaan mengubal Rang Undang-Undang baharu seperti dicadangkan Yang Berhormat Amanah,”katanya.
“Mana-mana individu yang sengaja mencetus atau mengeluarkan kenyataan yang mengganggu-gugat perpaduan dan mengancam keharmonian rakyat boleh didakwa di bawah akta sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574),
Selain itu, tambah beliau, mereka yang bersalah juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 505 Kanun Kesksaan (Akta 574), Seksnyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15). – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH