24 SEPT :Dos ketiga vaksin COVID-19 adalah berbeza dengan dos penggalak kerana ia bertujuan untuk meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak tersebut.
Justeru, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pemberian dos ketiga akan tertumpu kepada individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mana dos kedua didapati tidak mencukupi bagi meningkatkan tindak balas imuniti terhadap jangkitan wabak berkenaan.
Menurut beliau, dos penggalak diberikan kepada semua individu untuk meningkatkan tahap imuniti yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.
“Saya nak maklumkan dos ketiga berbeza dengan dos penggalak. Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.
“Ia akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang akan datang,” katanya pada sidang media khas, di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Khairy baru-baru ini memaklumkan, Sarawak mungkin akan menjadi negeri pertama akan melaksanakan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 berikutan berlaku peningkatan kes positif di Sarawak sejak kebelakangan ini yang dijangka bermula pada Oktober ini.
Menyentuh isu pemberian vaksin kepada remaja, Khairy mengingatkan kepada ibu bapa supaya tidak perlu bergegas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersama anak kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pendidikan Daerah terlebih awal.
Menteri Kesihatan itu memberitahu, pemberian vaksinasi secara walk-in hanya dibenarkan untuk remaja yang tidak bersekolah, remaja sedang belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau IPTS dan remaja yang bersekolah di rumah.
“Seterusnya pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga.
“Ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan. Kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19.
“Bagi murid sekolah berasrama penuh dan harian, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera, yang mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka. Tunggu sehingga janji temu diberikan di dalam MySejahtera,” ujarnya.