27 SEPT: Kerajaan menyasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12)
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, matlamat pertama RMKe-12 adalah untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.
Ismail Sabri berkata, matlamat kedua RMKe-12 ialah untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025.
“Ketiga ialah mengurangkan jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.
“Keempat ialah bagi mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015,” katanya ketika membentangkan RMKe-12 di Parlimen hari ini.
Berikutan itu, Ismail Sabri menjelaskan kerajaan akan memberikan fokus kepada sembilan perkara penting dalam pelaksanaan RMKe-19 iaitu pertama ialah Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi; kedua ialah Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan; ketiga ialah Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Kata Perdana Menteri lagi, fokus keempat dalam pelaksanaan RMKe-12 ialah dengan memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam; membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan Jurang Pendapatan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memperkasakan agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun;
Fokus kelapan RMKe-12 ialah mempercepat pertumbuhan hijau; dan akhir sekali meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan, ujar Perdana Menteri.