28 SEPT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan rantaian sektor pelancongan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pekerjaan tersebut bukan sahaja ditumpukan kepada kumpulan B40 semata-mata, malah menganjakkan lagi taraf hidup kumpulan M40.
“MOTAC akan meneroka peluang untuk penduduk di kawasan pedalaman yang berpotensi, dijadikan tempat ekopelancongan sebagai pemandu pelancong tempatan.
“Kekayaan pelbagai sumber khazanah alam dapat diperluaskan, sehingga menjangkau masyarakat terpencil yang mampu menawarkan keunikan pengalaman kepada pelancong.
“Ciri-ciri ini berupaya menjadikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nancy berkata kerajaan negeri boleh mencadangkan produk pelancongan baharu untuk diketengahkan dan MOTAC akan menambah baik produk berkenaan, seterusnya mempromosikan sehingga ke persada antarabangsa.
Menurutnya, MOTAC menyahut cabaran untuk mencapai sasaran ketibaan 24.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan berjumlah RM73 bilion pada 2025 bagi pelancongan antarabangsa, dan pendapatan sebanyak RM100 bilion bagi pelancongan domestik pada 2025.
“MOTAC melalui semua agensinya akan memastikan usaha yang lebih agresif dapat dijalankan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan,” katanya.
Beliau berkata negara perlu mengambil pendekatan baharu di mana seni dan budaya diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan, dalam usaha mempromosi Malaysia.