29 SEPT: Pelbagai usaha dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani masalah kekurangan guru Pendidikan Islam di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata ini kerana negara hanya mempunyai 40,713 guru subjek itu bagi sekolah rendah dan 16,024 lagi di sekolah menengah ketika ini.
“KPM faham mengenai kekurangan guru agama di seluruh negara. Kami sentiasa berusaha menambah bilangan guru ini.
“Sebagai contoh di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kami berbincang untuk menubuhkan Fakulti Pengajian Islam ke arah membantu menambah bilangan guru agama di Sabah.
“Justeru, saya merasakan kita boleh berbincang mengenai perkara serupa di semua negeri.
“Kita akan mencari jalan sesuai untuk berbincang dengan semua institusi pendidikan, termasuk universiti tempatan, untuk melahirkan lebih ramai guru agama yang kompeten,” katanya ketika petanyaan sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkenaan usaha kerajaan untuk menangani masalah kekurangan guru Pendidikan Islam di seluruh negara. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH