29 SEPT: Penyampaian Rancangan Malaysia Ke 12 (RMKe-12) perlu menggunakan pendekatan keseluruhan negara (whole of nation approach) serta pembangunan seimbang dengan kerjasama semua pihak dan pemegang taruh.
Ahli Parlimen GPS Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ini penting kerana dalam memastikan pemulihan sosio ekonomi masa pendek dan peluang dalam menetapkan semula hala tuju yang lebih lestari untuk jangka masa panjang namun sebaik mana pelan, ia tidak akan berhasil tanpa pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan yang efektif.
Menurut beliau, pendekatan itu merupakan tindakan yang diamalkan oleh kumpulan rentas parti Parlimen Malaysia, di mana kerjasama dwipartisan serta sokongan ahli-ahli akedemik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di samping masyarakat tempatan perlu dicapai dalam mengenal pasti isu dan penyelesaian permasalahan rakyat.
“Salah satu penemuan kajian adalah berkenaan ketidak seimbangan di kawasan setempat khususnya di Sarawak dan Sabah, di mana saiz geografi besar yang bermaksud akses keperluan asas adalah lebih mencabar.
“Sebagai contoh 2019, peratusan pendudukan menggunakan perkhidmatan air minuman diuruskan oleh Sarawak sekitar 80 peratus berbanding 94 peratus di peringkat kebangsaan. Keperluan air bersih paling asas dalam kehidupan seharian yang perlu ditangani dalam RMKe-12.
“Kepentingan memastikan wilayah setempat seimbang ini telah dikenal pasti pada separuh penggal RMK-11. Justeru, penekanan dan tumpuan pembangunan lebih seimbang perlu diteruskan dan ditingkatkan lagi dalam RMKe-12,”katanya ketika membahaskan RMKe-12 di persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Rohani memaklumkan kedudukan indeks sekuriti makanan negara agak membimbangkan di mana Malaysia di kedudukan 43 daripada 113 negara berbanding di tempat 28 pada tahun 2019.
Menurut beliau, isu yang dibimbangi adalah ketidakpastian kestabilan makanan kerana kadar sara diri tidak mencukupi serta import bersih semakin meningkat di samping corak permintaan yang sentiasa berubah-rubah.
“Keadaan bertambah buruk apabila kekurangan penggunaan tanah kerana 95 peratus dari 8 juta hektar digunakan bagi pertanian, perladangan dan komoditi manakala hanya 8 peratus untuk agro makanan dan kesannya negara menjadi pengimport bersih makanan dengan defisit imbangan dangagan meningkat dari tahun ke tahun.
“Justeru, jaminan makanan tidak boleh dilihat dari segi keuntungan pelaburan semata-mata namun sudut pulangan sosial. Kadar sara diri dan kepelbagaian sektor pertanian masih belum dicapai kerajaan di mana perlunya menangani seperti masalah kekurangan pelaburan R&D.
“Selain itu, perlu dilihat juga infrastruktur sektor pertanian, penyampaian perkhidmatan dan perkembangan pesat, memastikan tanah cukup bagi pengeluaran makanan dan menggalakan penyertaan tenga muda mahir professional dalam pertanian moden,” katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH