5 OKT: Kerajaan akan melaksanakan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka dan mesra perniagaan bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.
Ini termasuk dengan meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perjanjian perdagangan bebas berkenaan akan berupaya mempertingkat pasaran eksport bagi produk tempatan melalui pengurangan atau penghapusan duti import di pasaran rakan dagang serta pengurangan halangan bukan tarif (Non-Tariff Barriers).
“Keadaan ekonomi dunia yang semakin pulih telah memberikan impak positif kepada prestasi perdagangan negara. Jumlah perdagangan bulan Ogos 2021 meningkat 15.7 peratus kepada RM169.8 bilion berbanding Ogos 2020.
“Sejak Februari 2021, jumlah perdagangan merekodkan pertumbuhan dua digit untuk tujuh bulan berturut-turut. Eksport merekodkan peningkatan 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion. Import berkembang 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion. Lebihan dagangan melonjak 44.7 peratus kepada RM21.4 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) mewakili MITI di Parlimen sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata Bank Negara pula, unjuran pertumbuhan eksport 2021 adalah pada kadar 8.2 peratus (2020: -1.4 peratus).
Beliau berkata peningkatan eksport akan didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan luar dari rakan dagang utama Malaysia seperti ASEAN, Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat.
Katanya, eksport Malaysia juga dijangka akan mendapat faedah daripada pengukuhan permintaan global bagi barangan elektrikal dan elektronik (E&E) serta harga dan pengeluaran komoditi yang lebih tinggi.
Berikutan itu, MATRADE komited untuk membantu meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menembusi pasaran antarabangsa.
“Program eTRADE bertujuan membantu PMKS menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform e-marketplace. Di bawah RMKe-11, program ini telah berjaya memanfaatkan 3,358 PMKS dan menghasilkan nilai eksport sebanyak RM376 juta.
“Program eTRADE 2.0 yang akan diteruskan dalam RMKe-12 merangkumi Skim Onboarding dan Skim Digital Marketing & Training (DMT) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya.
Mohamed Azmin menjelaskan Pameran MIHAS 2021 yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2021 dianjurkan secara maya buat pertama kali pada tahun ini berjaya melibatkan 549 exhibitors yang terdiri daripada 246 pempamer tempatan (44.8 peratus) dan 303 pempamer dari luar negara (55.2 peratus) dengan perwakilan terbesar adalah Indonesia, China, Filipina, ROK, Thailand, Mexico dan Columbia.
Beliau berkata sehingga 30 September 2021, MIHAS telah berjaya merekodkan jualan sejumlah RM1.8 bilion secara atas talian, yang terdiri daripada jualan yang dilaporkan oleh pempamer sebanyak RM1.2 bilion dan RM693.5 juta jualan daripada program penyumberan antarabangsa (International Sourcing Program – ISP).
Antara produk dan perkhidmatan yang mencatatkan jualan tertinggi adalah perkhidmatan kewangan Islam, minuman, farmaseutikal, barangan penjagaan diri & kosmetik, makanan diproses dan produk berasaskan kelapa sawit.
Beliau berkata kehadiran syarikat-syarikat multinasional (MNC) akan membuka peluang kepada syarikat tempatan khususnya PMKS untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global (global supply chain).