5 OKT: Kementerian Kewangan (MoF) sedia menyiasat dakwaan Pandora Papers, jika perbuatan itu melanggar akta kawal selia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, setakat ini, pendirian MoF adalah kekal iaitu mana-mana individu boleh membuka akaun bersama bank-bank berlesen termasuk akaun luar pesisir.
“Berkaitan siasatan atau tidak, sudah pasti di bawah pertimbangan MoF untuk melihat apakah langkah ke hadapan yang kita ingin lakukan.
“Sudah pasti jika mereka menyalahi Akta 758 (Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ) dan Akta 759 (Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013), kita juga akan melakukan sesuatu supaya kita tidak akan membiarkan ketirisan berlaku di dalam negara ini,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab celahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya adakah kementerian akan melakukan siasatan memandangkan ia melibatkan kepentingan nasional.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memaklumkan aktiviti melibatkan luar pesisir dikawal selia oleh Labuan Financial Services Authority (LFSA).
Selain itu, sektor kewangan negara turut dikawal selia oleh BNM melalui Akta 758 dan Akta 759.
Tengku Zafrul berkata, semua pelanggan yang membuka akaun di bank berlesen yang dikawal selia BNM, atau LFSA, hendaklah lulus proses usaha wajar pelanggan atau Customer Due Diligence.