7 OKT: Gempa bumi dengan kekuatan 5.7 skala Richter yang melanda bandar Quetta, selatan Pakistan awal pagi tadi mengorbankan lebih 20 mangsa termasuk kanak-kanak.
Ketika kejadian, ketika kebanyakan mangsa sedang tidur sekali gus dikhuatiri lebih banyak mangsa terlibat.
Ketua Pengurusan Bencana Wilayah Balochistan, Naseer Nasar berkata kawasan pergunungan di bandar Harnai, Balochistan dikesan paling teruk dilanda bencana itu.
“Kemudahan infrastruktur yang mundur dengan kekurangan jalan raya berturap, bekalan elektrik dan capaian liputan telekomunikasi menyukarkan kerja menyelamat mangsa,” katanya kepada AFP.
Pegawai Kanan di pejabat pihak berkuasa tempatan, Suhail Anwar Hashimi pula berkata, kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat dihempap bumbung dan dinding rumah mereka.
“Antara yang meninggal dunia termasuk wanita dan enam kanak-kanak dan operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang digerakkan,” katanya.
US Geological Survey melaporkan gegaran itu berlaku jam 3 pagi di bandar Quetta dan kawasan sekitarnya.
Pada Oktober 2015, gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter melanda kawasan sempadan Pakistan dan Afghanistan yang mengorbankan 400 orang.
Sebelum ini, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter turut melanda negara itu pada 8 Oktober 2005 di wilayah Kashmir yang menyebabkan lebih 73,000 maut dan 3.5 juta hilang tempat tinggal.