7 OKT: UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat politik bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berikutan wabak COVID-19 masih membimbangkan di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata soal penangguhan PRN adalah satu perkara besar dan tanggungjawab Perdana Menteri untuk membincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok.
“Itu (proklamasi darurat) tentulah tanggungjawab Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau. Perkara seperti ini amat besar dan tentunya akan diputuskan dalam Kabinet agaknya.
“Difahamkan esok akan ada mesyuarat Kabinet dan tentulah perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. Kita tunggu keputusan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Kelmarin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dilapor menasihatkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai Isnin lalu, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.