7 OKT: Kenyataan Ahli Parlimen PH Seputeh, Teresa Kok mendakwa beliau tidak pernah dijemput bagi melawat atau menyertai program pertanian bandar di Kuala Lumpur yang dilaksanakan kerajaan telah disangkal oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim sehingga membuatkan pemimpin pembangkang itu terdiam.
Pada mulanya, Shahidan ketika penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BERSATU Beufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkenaan pelaksanaan pertanian bandar di Kuala Lumpur namun dicelah oleh Teresa bagi membuat pusingan U untuk memberi pandangan negatif kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
Namun, Teresa seolah-oleh membuka pekung di dada selepas Shahidan mendedahkan bahawa beliau telah pun menjemput Ahli Parlimen Seputeh itu bagi menghadiri proram pertanian bandar yang telah pun dibuktikan dengan kehadiran Ahli Parlimen PH Batu, P Prabakaran.
“Sebenarnya kita sudah libatkan semua wakil rakyat dan wakil rakyat pertama yang hadir adalah Yang Berhormat Batu dan yang berikutnya sudah pasti Seputeh dan semua wakil rakyat. Jadi, bila saya turun padang nanti, semua pemimpin masyarakat, pemimpin politik lain akan dilibatkan.
“Jadi Yang Berhormat Batu terlupa bagitahu Seputeh bahawa sebenarnya Yang Berhormat Batu telah hadir di program urban farming (pertanian bandar) yang telah kita laksanakan. Yang Berhormat (Batu) lain kali maklumlah..telefonlah Seputeh sebab Seputeh kata kami wakil rakyat di Wilayah Persekutuan tidak dijemput.
“Kita dah pun menjemput dan orang yang banyak sekali berinterkasi dengan saya ketika ini adalah Seputeh,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, menjawab celahan Aziah berkenaan jika KWP mampu terokai bersama Kementerian Sumber Manusia, pihak berkuasa tempatan dan agensi lain bagi memastikan tanggungjawab menjaga perumahan mewah diberikan kepada warga tempatan, Shahidan memaklumkan usaha itu sedang diteruskan oleh kerajaan.
“Saya juga sering berucap (ketika tidak menjadi Menteri) kenapa pegawai keselamatan ambil dari luar (warga asing). Jaga keselamatan di kondominium mewah mahupun tukang cuci mengapa ambil dari luar. Ini diambil kira dan akan diteruskan perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia.
“Ini usaha murni dalam memberi orang tempatan mengambil kerja-kerja mudah ini yang boleh ditampungi oleh kawan-kawan kita di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA). Rancangan ini akan berterusan supaya di kalangan warga PPR dan PA dapat peluang pekerjaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH