7 OKT: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes berprofil tinggi digugurkan oleh Tan Sri Tommy Thomas ketika memegang jawatan Peguam Negara akan diangkat ke Mesyuarat Jemaah Menteri, dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau sendiri akan membawa cadangan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN-Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Jemaah Menteri. Jadi saya tidak boleh menjawab mengenai RCI berkenaan jika tiada arahan Kabinet kerana ia ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi Insya-Allah saya sendiri akan membawa cadangan berkenaan kepada Jemaah Menteri (dalam masa terdekat) bagi mengetahui sama ada perlu atau tidak diwujudkan RCI bagi menyiasat isu terbabit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Abdul Azeez meminta kerajaan mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat kes berprofil tinggi digugurkan oleh Tommy.
Berikutan itu, Abdul Azeez membidas tindakan pembangkang mempersoalkan keputusan mahkamah kononnya berpihak kepada pemimpin UMNO dalam keputusan dibuat institusi terbabit, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi menegaskan kerajaan komited untuk meneruskan inisiatif berkaitan pembentangan rang undang-undang mengenai pembiayaan dana politik di Malaysia, pada masa depan.
Tindakan itu selari dengan Laporan Semakan Semula Separuh Penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 14 Bilangan 1 Tahun 2021 dan diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah.
Wan Junaidi, berkata kajian berhubung pewujudan rang undang-undang baharu tersebut sedang dilaksanakan dengan memberi fokus kepada aspek pengawalseliaan sumbangan politik berteraskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“Akta yang sedang dalam kajian ini juga akan mengambil kira pandangan pemegang taruh bagi memastikan mekanisme pelaksanaan yang berkesan.
“Berdasarkan Laporan Semakan Semula NACP, Inisiatif 1.2.3 untuk mengkaji penggubalan rang undang-undang baharu berkaitan sumbangan dana politik ini diberi tempoh masa bermula Januari 2021 hingga Disember 2022.
“Sekiranya ia bersesuaian selepas mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh, ia akan dibawa kepada Mesyuarat JKKMAR serta ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan tertakluk kepada dasar kerajaan semasa,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI