7 OKT: Tiada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pembabit pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam kes kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta milik seorang individu disiasat oleh badan berkenaan, sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata tindakan berkenaan tidak perlu kerana SPRM sudah siap melakukan siasatan berhubung kes terbabit.
Malah, Wan Junaidi juga mengesahkan kertas siasatan kes berkenaan juga sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AG) untuk pertimbangan dan tindakan pendakwaan.
“Yang Berhormat (YB) Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM memberi penjelasan berkenaan dengan kes kecurian wang dalam jagaan SPRM dan mencadangan untuk dibentuk RCI kerana membabitkan pelbagai agensi kerajaan.
“Untuk makluman , kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Peguam Negara. Siasatan yang dijalankan adalah mengikut lunas undang-undang.
“Justeru, buat masa ini tiada keperluan untuk menubuhkan RCI memandangkan siasatan kes telah selesai dan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian dan keputusan kes,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Wan Junaidi menjelaskan SPRM menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atas apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dengan bebas, telus dan profesional tanpa mengira status sama ada mereka orang kenamaan (VIP) atau rakyat biasa.
Beliau berkata SPRM juga sentiasa memelihara kerahsiaan sesuatu maklumat atau siasatan sesuatu kes selaras dengan peruntukan Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009.
“Justeru, mana-mana kes yang masih dalam siasatan SPRM tidak boleh didedahkan kepada umum sebagai langkah-langkah kawalan dalaman bagi memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran atau pendedahan maklumat.
“Pada peringkat praperbicaraan, pendakwaan dikehendaki membekalkan salinan laporan maklumat, dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada bukti pendakwaan serta kenyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan. Ini adalah selaras dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.