7 OKT: Isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kerugian dialami Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata penubuhan RCI berkenaan akan diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“RCI Tabung Haji kini diletakkan di bawah Menteri di JPM Parlimen dan Undang-Undang dan cadangan Ahli Jawatankuasa RCI berkenaan akan dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri, esok,” katanya ketika menjawab celahan Ahli Parlimen BN-Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Parlimen hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian yang didakwa dialami oleh TH dari tahun 2014 hingga 2020.
Berikutan itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika itu berkata keputusan penubuhan RCI berkenaan dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Ismail Sabri berkata, tujuan utama penubuhan RCI berkenaan bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.
Antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop tugasnya tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
Penubuhan RCI berkenaan juga bertujuan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan akan merangka Pelan Induk Bersepadu mengenai pembangunan
Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf dan instrumen wakaf untuk menyediakan rangka kerja bagi pembangunan
sosioekonomi di peringkat negeri dan tempatan.
Berikutan itu, satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menyediakan hala tuju yang menyeluruh berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan tanah wakaf.
“Satu undang-undang mengenai pembangunan tanah wakaf akan diperkenalkan di peringkat persekutuan yang akan menjadi garis panduan berkaitan pembangunan tanah wakaf di seluruh negara.
“Kesemua usaha pembangunan wakaf ini dilakukan dengan mengiktiraf kedudukan Majlis Agama Islam negeri sebagai
pemegang amanah tunggal harta wakaf,” katanya.