8 OKT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob hari ini mengumumkan keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan).
Tindakan itu sekali gus menjawab teka-teki mengenai hala tuju perjuangan politiknya selepas ini.
Berikutan itu bekas Ketua Penerangan Warisan mengesahkan bahawa beliau kini menjadi ADUN Bebas selepas keluar meninggalkan parti berkenaan.
Sebelum ini, Yusof mempertahankan kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 424 undi dalam pertembungan lima penjuru semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Beliau memperoleh 5,415 undi bagi menewaskan pesaing terdekatnya, Sani Miasin yang juga calon Barisan Nasional (BN).