9 OKT: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan pelantikannya sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berhubung isu Pulau Batu Puteh adalah amanah serta tanggungjawab demi rakyat dan negara.
Katanya, pelantikan itu juga bertepatan dengan pendiriannya sebagai nasionalis yang menyokong kuat kedaulatan negara.
“Saya masih belum menerima apa-apa (makluman dan pelantikan) secara rasmi. Lagipun sekarang, saya sedang bercuti di Kampung.
“Namun, sudah tentu saya (bersedia). Saya seorang nasionalis dan penyokong kuat kedaulatan negara yang kita cintai ini.
“Saya akan buat apa saja demi negara,” katanya ringkas kepada Berita Harian hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan pelantikan Mohamed Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.
Katanya, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian secara menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
“Usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berhubung kes Pulau Batu Puteh,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh.
Manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia, selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.