11 OKT : Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Twitter rasminya, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana menggalakkan rakyat untuk bercakap mengenai kesihatan mental.
Tedros dalam ucapan terima kasihnya itu semalam, turut berkongsi ciapan Khairy mengenai kesihatan mental sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia semalam.
“Terima kasih atas kepimpinan anda dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk bercakap mengenai kesihatan mental, Menteri Kesihatan @Khairykj.
“Bersama-sama, untuk penjagaan kesihatan mental berkualiti untuk semua!” katanya.
Khairy melalui Twitter miliknya semalam berkata kesihatan mental akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan begitu juga sebaliknya.
“Kesejahteraan psikologi yang positif boleh mengurangkan risiko kesakitan serius. Kesihatan mental yang buruk boleh membawa kepada kesihatan fizikal yang buruk dan tingkah laku yang berbahaya. Let’s TALK Minda Sihat,” katanya.
Let’s TALK Minda Sihat adalah kempen yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan menggalakkan rakyat mendapatkan sokongan dan bantuan bagi mencapai kesejahteraan mental, selain ahli keluarga dan rakan memberikan sokongan serta bantuan kepada yang memerlukan.