11 OKT: Norrida Yusoff dilantik sebagai Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) berkuat kuasa 1 Oktober lalu sekali gus melakar sejarah tersendiri kerana ia merupakan kali pertama wanita menerajui MTC selepas tiga dekad.
Pelantikan Norrida itu bagi menggantikan Mazli Zakuan Mohd Noor yang meletakkan jawatan pada 1 September 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili berkata, walaupun Norrida masih baharu dalam industri kayu-kayan, beliau mempunyai pasukan kepimpinan MTC yang sentiasa akan membantunya dalam mendepani cabaran dan memanfaatkan segala pengalaman.
“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dan berada di bawah bimbingan Norrida. Beliau memainkan peranan penting dalam membuat strategi untuk mengembangkan pasaran, penjenamaan dan jualan serta terkenal dengan kemahiran menyelesaikan masalah luar biasa.
“MTC juga berterima kasih kepada Mazli Zakuan kerana sumbangannya dalam menambahbaik MTC meskipun berdepan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Norrida berpengalaman selama 20 tahun dalam industri telekomunikasi.
Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengurus Latihan Jualan Negara dan Ketua Perancangan Jualan Celcom Axiata.
Sementara itu, Norrida berkata, meskipun pandemik COVID-19 terus menguji, beliau yakin semangat pengeluar berasaskan kayu dan dipacu oleh kemajuan digital akan mengubah sektor tersebut daripada kelangsungan hidup kepada pemulihan.
“Saya merasa rendah diri dengan pelantikan ini, terutama ketika pada masa yang sangat penting bagi industri,” katanya.