12 OKT : Kerajaan akan menimbangkan cadangan untuk mewajibkan ujian RTK-Antigen dua kali seminggu kepada mana-mana guru atau penjawat awam yang masih tidak bersetuju untuk divaksin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata, cadangan yang diberikan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Sharuddin Mat Salle akan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Cadangan mewajibkan ujian RTK kepada guru dan penjawat awam sepertimana yang disebutkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu satu cadangan yang baik dan akan dibawa ke dalam mesyuarat MKN akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Sharuddin berhubung cadangan ujian RTK terhadap mana-mana guru atau penjawat awam yang tidak mahu divaksin pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, berhubung apa tindakan kerajaan terhadap orang awam yang masih tidak mahu divaksin, Dr Latifff menjelaskan, setakat ini kerajaan tidak boleh memaksa rakyat untuk mengambil vaksin memandangkan tiada undang-undang yang dikuatkuasakan bagi mewajibkan rakyat mengambil vaksin.
“Contohnya di Singapura, ada undang-undang yang mewajibkan rakyat untuk mengambil vaksin. Tetapi kita di Malaysia kita belum sampai ke tahap itu.
“Jika kerajaan mahu mewajibkan semua kakitangan kerajaan divaksin, ia memerlukan beberapa syarat, peraturan dan pendekatan supaya ia dapat dilakukan dengan berhemah,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, ada pelbagai cara yang boleh dibuat pihak berwajib bagi menyedarkan orang awam bahawa mereka tidak boleh menikmati segala kemudahan sekiranya tidak divaksin.
“Umpamanya sekarang ini, jika seseorang individu itu tidak divaksin, dia tidak boleh menikmati makan di restoran, kerana ia mewajibkan seseorang itu menerima vaksin lengkap untuk makan di restoran.
“Dengan cara dan pendekatan yang digunakan kerajaan hari ini, lama-kelamaan individu yang tidak mahu divaksin akan sedar bahawa untuk menikmati semua kelonggaran itu, mereka perlu melengkapkan dos vaksin mereka,” jelasnya.
Sementara itu, menjawab soalan celahan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu berhubung tindakan kerajaan terhadap golongan anti vaksin, Dr Latiff menegaskan Kerajaan akan terus melakukan dakwah, pendekatan terhadap golongan antivaksin ini.
“Kerajaan akan melakukan pendekatan dakwah, penerangan bagi kumpulan ini untuk menyedarkan golongan tersebut betapa pentingnya vaksin dalam usaha mengekang jangkitan COVID-19.
“Jika kita lihat di Kanada seumpamanya, negara tersebut telah menguatkuasakan undang-undang mewajibkan vaksin kerana rakyat di negara itu amat terdedah dengan hujah-hujah antivaksin, dan golongan antivaksin ini secara terang-terangan membantah usaha vaksinasi di negara itu.
“Bagaimana di Malaysia, kita masih ada ruang untuk berbincang dan memberikan hujah kepada golongan antivaksin ini bagi membetulkan segala kefahaman salah yang diterima mereka berhubung usaha vaksinasi ini,” katanya.
Katanya lagi, salah satu contoh berjayanya pendekatan berbincang dan memberi kefahaman tentang vaksin ini ialah di kalangan masyarakat Orang Asli.
“Apabila kita sudah membuat pertemuan dan berbincang dengan mereka, barulah mereka faham dan bersetuju untuk divaksin.
“Jadi dalam usaha untuk menyedarkan rakyat tentang kepentingan mengambil vaksin, perkara ini boleb dicapai melalui perbincangan tanpa perlu paksaan,” ujarnya.