13 OKT: China adalah negara pengimport tertinggi sarang burung walit dari Malaysia dengan jumlah eksportnya sebanyak 96.5 tan metrik atau RM283 juta pada 2018.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata tiga jenis produk sarang burung walit iaitu sarang burung walit mentah proses, sarang burung walit mentah tanpa diproses dan produk sedia dimakan yang telah diberi kebenaran untuk dieksport ke luar negara termasuk negara China mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Nik Muhammad Zawawi berkata bagi memastikan proses permohonan berjalan dengan lancar dan memenuhi syarat eksport sarang burung walit tanpa proses yang ditetapkan oleh negara China semua permohonan hendaklah melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk dikemukakan kepada General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC).
“Syarat-syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan eksport ke China adalah pendaftaran loji pemprosesan dan Sijil Veterinary Health Mark (VHM) daripada DVS.
“Sebelum mengeksport sarang burung walit ke China, syarikat perlu memperolehi Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) daripada DVS dan Permit Eksport daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan dibangkitkan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong minta Menteri Pertanian dan Industri Makan menyatakan adakah produk sarang burung walit tanpa proses dibenarkan untuk dieksport ke luar negara, termasuk negara China yang mempunyai pasaran besar dan apakah syarat-syarat lain yang membenarkan pengeksportan tersebut dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata sehingga September 2021, sejumlah 41 buah syarikat tempatan telah diberi kelulusan oleh GACC untuk mengeksport produk sarang burung walit ke negara China.
Beliau berkata tiga syarikat didaftarkan untuk produk sarang burung walit mentah tanpa proses, 36 syarikat didaftarkan untuk produk sarang burung walit mentah diproses, manakala dua syarikat untuk produk sarang burung walit sedia untuk dimakan.
Bagaimanapun, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, mendedahkan terdapat segelintir rakyat tempatan yang tidak bertanggungjawab dengan mencipta sarang burung walit tiruan untuk dipasarkan ke luar negara.
Berikutan itu, kerajaan menerusi MAFI mengambil pelbagai langkah bagi membendung kegiatan penghasilan dan pemasaran sarang burung walit palsu berkenaan.