13 OKT: Sejajar dengan usaha bagi membantu peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah atau B50, kerajaan akan melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang akan dikelolakan oleh sektor perbankan merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.
Menurut beliau, bantuan itu turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang dari RM5,880 sebulan.
“Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah.
“Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat datipada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Program URUS ini telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) manakala butiran selanjutnya mengenai bantuan itu akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia.
“Ini juga melengkapkan usaha Kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan Kerajaan sejak Mac 2020.
“Kerajaan berharap dengan pendekatan whole-of-nation dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, kita mampu merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH