MP Labuan Mengaku Akan Didakwa di Mahkamah Esok
13 OKT: Desas-desus pendakwaan Ahli Parlimen pembangkang dari Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengesahkan tentang berita berkenaan.
Rozman yang merupakan Ahli Parti Warisan berkata, beliau akan didakwa oleh SPRM di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, esok.
“Esok saya ada pertuduhan (SPRM) di mahkamah Kuala Lumpur. Saya akan buat kenyataan media selepas itu,” katanya ketika dihubungi media.
Terdahulu, PNBBC Portal melaporkan SPRM telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa seorang Ahli Parlimen pembangkang esok kerana dipercayai terbabit dengan kes rasuah.
Menurut sumber, Ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah, sama ada untuk dirinya, saudara atau sekutu.