13 OKT: Penularan pandemik COVID-19 menyebabkan pendapatan para peniaga di Mumbai, India terjejas teruk sehingga mereka berdepan kesukaran untuk membayar sewa kedai dan gaji pekerja.
Keadaan itu memaksa para peniaga berkorban termasuk melepaskan aset paling berharga iaitu emas.
Seorang ahli perniagaan, Kavita Jogani salah seorang daripada ribuan penduduk yang telah menggadaikan gelang perkahwinan.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain selain menjual emas itu. Saya membeli gelang ini sebelum perkahwinan pada 23 tahun lalu,” kata wanita berusia 45 tahun itu.
Jogani terpaksa menjual lapan gelang, kalung kecil serta beberapa cincin, untuk mendapatkan wang tunai berjumlah 200,000 rupee (RM11,214).
Penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan mendorong lebih 230 juta penduduk India bergelut dengan kemiskinan tahun lalu, menurut satu kajian oleh Universiti Azim Premji, menyebabkan ramai yang bergelut untuk membayar sewa, yuran sekolah dan bil hospital.
Kesukaran mereka meningkat beberapa minggu terakhir ini ekoran kenaikan harga elektrik, bahan bakar dan barang keperluan lain.
Ramai keluarga dan perniagaan kecil mula mengumpulkan barangan daripada emas, sebagai pilihan terakhir serta jaminan untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.
Bank sudah mengeluarkan pinjaman terhadap barang kemas bernilai 4.71 trilion rupee (RM266 bilion) dalam lapan bulan pertama tahun ini, melonjak 74 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut data bank pusat.
Emas mempunyai kepentingan kewangan dan budaya yang besar di India.
Ia dianggap penting dalam majlis perkahwinan, ulang tahun dan upacara keagamaan serta sebagai aset selamat yang boleh dipindahkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Pengarah Majlis Barangan Perhiasan dan Permata Tempatan India, Dinesh Jain, berkata tindakan itu terpaksa diambil memandangkan ia satu-satunya jaminan sosial bagi wanita atau rumah tangganya, ekoran tiada program jaminan sosial dari pemerintah.
Peniaga, Kumar Jain, 63, yang mengusahakan sebuah kedai warisan keluarganya di Zaveri Bazaar, Mumbai selama 106 tahun, memberitahu tidak pernah melihat begitu ramai orang datang untuk menjual emas.
“Tidak seperti sebelum pandemik. Paling memilukan adalah ketika mereka menjual ‘mangalsutra’ (kalung perkahwinan) mereka sendiri,” katanya.