15 OGOS: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pengerusinya, Tan Sri Md Nor Yusof telah melepaskan jawatannya berkuat kuasa hari ini.
TH menerusi kenyataan memaklumkan, sepanjang menjawat jawatan sebagai Pengerusi, Md Nor telah memacu usaha penyusunan semula, perkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan TH.
Menurut kenyataan itu lagi, beliau juga berjaya meletakkan TH hari ini sebagai sebuah organisasi Islam yang bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan Rukun Islam yang kelima.
“Jumlah deposit pada 30 Jun lalu ialah RM81.14 bilion iaitu tahap tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun lalu.
“Ini mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang lebih tinggi dari pendeposit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.