15 OKT: Dua lokaliti masing-masing satu di Pahang dan Perak akan ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menyatakan penamatan PKPD itu membabitkan Kampung Sungai Padi, Lipis, Pahang dan Kampung Orang Asli Sungai Chadak, Tanjung Rambutan, Perak.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di Kampung Sungai Padi, Lipis, Pahang mula dilaksanakan sejak 19 September lalu manakala Kampung Orang Asli Sungai Chadak, Tanjung Rambutan, Perak, mulai 3 Oktober lalu.
“Selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa, PKPD di dua lokaliti terbabit ditamatkan mengikut jadual, esok,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tiada pelaksanaan PKPD baharu di mana-mana lokaliti lain turut dilaporkan.