16 OKT: Tuduhan isu pendedahan Pandora Papers yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi persidangan Dewan Rakyat lalu bukanlah seperti yang telah digembar-gemburkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Anwar sebelum ini mendakwa kononnya penolakan usul itu sebagai helah untuk menutup ruang perbahasan mengenai pendedahan berhubung perkara tersebut di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang berakhir pada 12 Oktober lalu.
Namun, tuduhan itu dilihat tidak berasas apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dengan tenang memaklumkan usul yang dibawa Anwar untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers sudah diterima semalam dan ia masih dalam pertimbangan untuk diluluskan.
Perkara itu turut dikukuhkan lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Kerajaan tidak akan menghalang tindakan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu yang disebut dalam pendedahan Pandora Papers berkenaan pemilikan aset kewangan luar pesisir.
Beliau berkata, kerajaan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai bukti pelanggaran undang-undang negara dan pendirian kerajaan juga adalah berasaskan keterbukaan kerajaan terhadap apa jua tindakan undang-undang di negara ini.
“Dalam negara ini kita terbuka, kalau didapati ada kes terhadap sesiapa pun, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan. Kita terbuka dan serah kepada pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa baca semua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baca semua baca berita yang dikeluarkan.
“Justeru, terserah kepada pihak berkuasa, kita tidak menyekat tindakan daripada pihak berkuasa kepada sesiapa, tetapi mesti ada bukti. Kalau tak ada bukti, tak bolehlah,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR pada 4 Oktober lalu mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara melibatkan beberapa nama besar.
Bagaimanapun, Azhar menolak usul itu atas tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang sudah ditetapkan aturan urusan mesyuarat.