17 OKT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu beri lebih banyak ruang kepada golongan muda main peranan penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) nanti.
Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais, berkata parti berkenaan juga tidak boleh lagi bersembunyi disebalik perancangan yang nampak sempurna di atas kertas namun hakikat sebenarnya adalah berbeza.
Mahathir berkata semua pemimpin BERSATU perlu melihat dan mengkaji realiti politik semasa serta mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.
Beliau berkata pemimpin BERSATU juga perlu menyedari hakikat bahawa mereka kini bukan hanya perlu menjaga kepentingan dan mewakili orang Melayu sahaja malah kebajikan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan politik negara.
“Ini adalah masa sesuai bagi semua pemimpin supaya tidak hanya fokus kepada hanya satu kaum tertentu sahaja sebaliknya mereka perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan semua kaum sebagai asas kekuatan parti politik masing-masing.
“Sebarang keputusan yang bakal dibuat mestilah mengambil kira kepentingan dan suara pemimpin akar umbi termasuk peringkat cawangan dan kampung.
“Ini penting kerana jatuh dan bangunnya serta kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan dari peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata pemimpin politik juga harus ingat bahawa jatuh bangun mereka adalah bergantung kepada kehendak akar umbi.
Malah, beliau berkata sejarah sudah membuktikan bahawa keakraban hubungan rapat antara pemimpin dan akar umbi membolehkan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah selama lebih 60 tahun.
Justeru itu, BERSATU memanfaatkan strategi dengan memberikan lebih banyak peluang dan ruang kepada golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam PRN Melaka dan PRU-15 nanti.