18 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
Yang turut berangkat, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Pada pertemuan berkenaan Sultan Selangor juga diberi taklimat oleh Khairy mengenai perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 khususnya di Selangor.
“Baginda sukacita apabila dimaklumkan bahawa peratusan rakyat Selangor yang telah divaksin sepenuhnya kini mencecah 85 peratus.
“YB Khairy turut menyampaikan laporan terkini mengenai isu antivaksin dan tindakan yang sedang diambil oleh pihak kementerian,” titah banginda menerusi Facebook Selangor Royale Office di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, baginda dan Khairy turut membincangkan mengenai pentingnya penambahan fasiliti Geriatrik di hospital-hospital bagi menampung peningkatan populasi warga emas.
Baginda turut menyarankan agar tumpuan dan pelan jangka pendek turut diberikan kepada penyediaan perkhidmatan Psikiatri dan Kesihatan Mental yang berkualiti dan lebih meluas khususnya di Negeri Selangor.