19 OKT: Mana-mana kakitangan Kerajaan Persekutuan enggan mengambil vaksin COVID-19 tanpa sebab munasabah boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk ditamatkan perkhidmatan selepas dasar baharu berhubung imunisasi membabitkan penjawat awam dikuatkuasakan mulai 1 November ini.
Perkara itu dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dimuat naik di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) https://www.jpa.gov.my/penjawat-awam/surat-edaran-jpa, semalam.
Menurut pekeliling JPA yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkenaan juga menyebut bahawa pegawai kerajaan boleh diarahkan untuk melengkapkan pengambilan dos vaksin mulai tarikh berkenaan.
“Pada atau selepas 1 November ini, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.
“Sekiranya pegawai kerajaan berkenaan tidak dapat melengkapkan dos vaksin kerana faktor kesihatan, maka mereka boleh membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar,” katanya dalam pekeliling berkenaan.
Menurut pekeliling berkenaan mereka juga boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 jika telah disahkan tidak layak menerima vaksinasi atas sebab kesihatan.
“Pegawai adalah bertanggungjawab mendapatkan dos imunisasi yang lengkap sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.
“Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran serta produktiviti perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.
Justeru, ketua jabatan boleh mempertimbangkan apa-apa kaedah sesuai untuk memastikan pelaksanaan dasar berkenaan dalam menguruskan pegawai yang tidak dapat melengkapkan vaksinasi penuh termasuk mengarahkan mereka menjalani ujian saringan COVID-19 dengan kos ditanggung sendiri oleh mereka.
Bagaimanapun, kos ujian pengesanan untuk mereka tidak layak menerima imunisasi atas faktor kesihatan akan ditanggung oleh kerajaan.
Semua pegawai kerajaan adalah tertakluk kepada syarat perkhidmatan selaras dengan Fasa (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, selain Surat Aku Janji ditandatangani mereka di bawah sub peraturan 20 (3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 (P.U. (A) 1/2012).