20 OKT: Insiden membabitkan kapal selam nuklear dan menghentikan operasi yang disebut ‘kebebasan pelayaran’ di Laut China Selatan menimbulkan kemarahan China terhadap Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kementerian Pertahanan Nasional, Tan Kefei, berkata China mendesak AS untuk menjelaskan perkara itu kerana yakin tentera AS sengaja menunda dan menyembunyikan perincian kejadian itu.
“Kejadian berpunca apabila AS sekian lama menghantar pengangkut pesawat, pengebom strategik, kapal selam nuklear dan sistem senjata canggih lain ke perairan ini,” katanya sambil menambah bahawa kekuatan seperti itu meningkatkan ketegangan dan melemahkan keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai kapal selam nuklear AS yang baru-baru ini dikatakan bertembung dengan objek yang tidak diketahui di Laut China Selatan hingga menyebabkan beberapa kerosakan dan kecederaan, lapor agensi berita Xinhua.
Katanya, pendekatan yang tidak bertanggungjawab dan rahsia itu menjadikan China dan negara di sekitar Laut China Selatan tidak mempunyai pilihan selain untuk mempersoalkan kebenaran kejadian dan niat AS.
Kefei juga berkata, AS, United Kingdom (UK) dan Australia baru-baru ini, menjalin kerjasama keselamatan tiga hala untuk kapal selam bertenaga nuklear, sekali gus memberi akses kepada Australia, akses kepada bahan nuklear yang dapat digunakan untuk membuat senjata nuklear.
Indonesia dan Malaysia turut risau terhadap keputusan Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear daripada AS itu.
Tindakan di bawah AUKUS, satu permuafakatan keselamatan membabitkan Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada negara serantau terutama di Asia Tenggara.
Kapal selam nuklear akan membolehkan Australia menjalankan rondaan lebih jauh dan memberikan sekutunya penguasaan ketenteraan yang lebih kuat di rantau berkenaan.