20 OKT: Ahli Parlimen BERSATU Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menyifatkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Azmir Zainal Abidin yang meninggal dunia petang tadi sebagai pemimpin muda yang berbakat dan berpotensi.
Katanya, beliau menyedari minat arwah untuk berkhidmat kepada masyarakat amat menebal apatah lagi bapanya Datuk Zainal Abidin Osman pernah menjadi wakil rakyat selama empat penggal.
“Selama mengenainya, saya melihat minat arwah untuk berkhidmat membantu rakyat sangat menebal. Arwah nyata seorang yang berbakat dan berpotensi sebagai pemimpin,” katanya.
Menurut Abd Latiff, ketika beliau masih Ketua UMNO Bahagian Mersing, arwah sudah berada di dalam jawatankuasa Pemuda Bahagian.
“Ayahnya juga pernah jadi EXCO kerajaan Johor selama dua penggal manakala Adun Endau sekarang Alwiyah Talib adalah emak saudara sepupu kepada arwah. Tidak hairanlah, Azmir mempunyai ciri-ciri pemimpin yang diwarisi daripada ayahnya dan Alwiyah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu kepada PNBBC Portal.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azmir yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Johor meninggal dunia petang tadi selepas tidak sedarkan diri dipercayai perpunca tekanan darah.