20 OKT : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menjelaskan isu pesawat Tentera Udara Republik Singapura terbang rendah di ruang udara daerah Pasir Gudang merupakan satu latihan ketenteraan pelbagai hala bagi negara-negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara atau Five Power Defence Arrangements (FPDA).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang menegaskan bahawa pesawat Tentera Udara negara jiran berkenaan adalah merupakan sebahagian dari aset yang terlibat di dalam latihan tersebut.
“Latihan ketenteraan yang dikenali sebagai
Eksesais BERSAMA GOLD 2021 ini dianjurkan oleh Malaysia bermula 8 hingga 18 Oktober 2021.
“Ia disertai oleh negaranegara anggota FPDA iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom bersempena Sambutan 50 Tahun FPDA serta terlibat di acara terbang lintas (fly-past) pada 21 Oktober 2021,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya dalam kenyataan itu lagi, sepanjang latihan, semua pesawat tentera negara-negara anggota (FPDA) iaitu Australia, New Zealand dan United Kingdom telah ditempatkan di Singapura.
Manakala jelasnya, pesawat kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beroperasi dari Pangkalan Udara di Malaysia.
“Ini menyebabkan peningkatan trafik udara di sekitar ruang udara negara khususnya di selatan Johor berhampiran Pasir Gudang.
“Penerbangan pesawat-pesawat ini juga telah mendapat kelulusan diplomatik bagi tujuan latihan tersebut dan kawasan ruang udara Pasir Gudang merupakan laluan penerbangan yang dibenarkan sewaktu latihan berkenaan berlangsung,” katanya.
Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia menyarankan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kekeliruan dan kegusaran di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan rakyat Negeri Johor terutamanya.