21 OKT: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak akan menamakan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mesyuarat Majlis Presiden PH juga tidak membincangkan mengenai nasib tiga lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri , Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sehingga menyebabkan pembubaran DUN dan PRN Melaka terpaksa diadakan pada 20 November depan.
“Dalam isu empat bekas ADUN, Pakatan Harapan telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini.
“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.
“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen Pakatan Harapan, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu Majlis Presiden PH juga memutuskan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka.
“Ini bagi menyampaikan pandangan Pakatan Harapan serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara PH.
“Majlis Presiden PH juga bersetuju melantik Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya Pakatan Harapan Melaka bagi menghadapi PRN Melaka.