22 OKT: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Shah Alam, Mastura Mohamad Darby menggesa pihak berkuasa tempatan untuk mengatasi segera kejadian banjir kilat yang sering melanda Kampung Padang Jawa, Shah Alam.
Beliau yang melawat mangsa banjir di kampung berkenaan semalam menyaksikan sendiri kepayahan dan keletihan mangsa-mangsa banjir yang terpaksa mencuci lantai yang berair busuk selain merosakkan tikar getah dan peralatan di dalam rumah.
“Hari ini (semalam) saya menyusuri jalan-jalan di Kampung Padang Jawa, Shah Alam untuk melawat rumah-rumah keluarga yang dilanda banjir kilat, semalam (kelmarin).
“Setiap kali hujan lebat di Shah Alam, pasti banjir dan air naik hingga ke lutut. Saya mendengar keluhan dan aduan mereka.
“Penduduk mengadu kepada saya, mereka bosan dan letih kerana ia menyusahkan mereka yang terpaksa mencuci lantai yang berair busuk dan merosakkan tikar getah serta perkakas rumah mereka,” katanya dalam Facebooknya.
Justeru, Mastura yang juga Ketua Penerangan Srikandi berharap pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat yang ada perlu melakukan sesuatu supaya Bandaraya Shah Alam tidak dicemari dengan banjir kilat yang merosakkan namanya, setiap kali hujan lebat.
“Kesian pada keluarga yang berumah rendah yang terpaksa membasuh perabot, pakaian dan membersihkan rumah mereka setiap kali banjir berlaku terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, banjir ini amat membahayakan nyawa anak-anak
“Saya amat berharap isu ini dapat ditangani segera,” katanya.