22 OKT: Kerajaan diminta meneruskan moratorium bersasar atau memberikan diskaun pada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata cadangan berkenaan dikemukakannya kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz ketika sesi dialog bersama rakan-rakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) kelmarin.
“Dalam keadaan ekonomi yang hanya sedang mula pulih sekarang ini, ramai yang masih menghadapi masalah kewangan. Bagi saya, yang paling baik ialah jika kerajaan benarkan PTPTN teruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan oleh COVID-19.
“Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, saya nyatakan kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN berkata beliau juga meminta supaya diskaun diberikan kepada mereka yang membayar menggunakan potongan debit bulanan sebagai penghargaan kepada mereka yang membayar mengikut jadual.
“Diskaun ini adalah satu perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi-sesi libat urus yang kami jalankan. Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Bajet 2022.
“Saya juga sampaikan surat rasmi daripada saya selaku Pengerusi PTPTN kepada Menteri Kewangan mengenai perkara ini,” katanya.