7 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang mengesan seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Individu tersebut dikenali sebagai Rahyan Kabir, 25, dengan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd, B-7-9 Menara Uncang Emas, No, 85 Jalan Loke Yew, 55200, Kuala Lumpur.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi Penolong Pengarah Imigresen, Nurulmasha Nazlinan Hussin di talian 03-88801298 / 1294 atau 03-88801555 selepas waktu pejabat,” kata JIM dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebook, hari ini.
Rahyan memberi kenyataan yang memburuk-burukkan Malaysia dan pihak berkuasa dalam dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang disiarkan agensi berita asing, Al Jazeera.
Laporan berat sebelah yang dipaparkan dalam dokumentari tersebut mencetuskan kemarahan rakyat yang seterusnya mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Al Jazeera.
Agensi berita yang berpangkalan di Qatar itu menyiarkan laporan dan kenyataan yang menuduh negara ini mengamalkan dasar perkauman terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengekang penularan COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH