23 OKT : Sebuah Yayasan Keluarga Malaysia telah diwujudkan sebagai institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan, sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia yang dizahirkan untuk anak-anak yang terkesan pandemik.
Kata Ismail Sabri, kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih ekoran pandemik COVID-19 memberikan kesan terhadap dirinya.
“Bayangkan bagaimana adik Nazurah Nabilah binti Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga 7 adiknya, manakala adik Hadrami bin Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia 3 tahun.
“Anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak COVID-19.
“Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa,” ujarnya.
Beliau melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia itu malam tadi bersempena program pelancaran Keluarga Malaysia yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) hari ini.
Tambah Ismail Sabri lagi, yayasan ini juga akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri menyeru agar rakyat di negara ini berkongsi rasa kasih dengan anak-anak yatim ini agar masa depan mereka lebih cerah dan terjamin.
“Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka.
“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian,” katanya.