24 OKT: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menegaskan larangan penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula esok hanya membabitkan pilihan raya.
Hishammuddin berkata larangan itu tidak membabitkan majlis sosial lain termasuk majlis perkahwinan.
“Kepada yang telah rancang majlis kahwin, teruskan. Jika anda dalam negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sila ikut prosedur operasi standard (SOP) yang tertera.
“Larangan yang dinyatakan dalam kenyataan KKM hanya untuk aktiviti, perhimpunan, majlis sosial yang berkaitan pilihan raya,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan beberapa pengguna Twitter berhubung larangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata aktiviti membabitkan pilihan raya seperti pelancaran jentera pilihan raya dan sebagainya yang tidak dibenarkan bermula esok.
“Majlis perkahwinan anda boleh diteruskan dan tolong rujuk SOP Fasa 4 PPN. Semoga segalanya berjalan lancar,” jawabnya kepada pengguna Twitter menggunakan akaun Natashaahhh@ntshkml.
Natashaahhh bertanyakan sama ada majlis perkahwinan masih boleh diadakan dengan kapasiti 50 peratus pengunjung dan lengkap vaksinasi.
Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Menurutnya, arahan berkuat kuasa esok hingga 27 November itu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.
Mereka yang melanggar arahan itu boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).