25 OKT: Sungai Musi berhampiran Palembang, Indonesia menjadi tumpuan ramai nelayan dan pencari harta karun apabila ‘rahsianya’ menyimpan pelbagai khazanah dan artifek berharga dari zaman Srivijaya terbongkar.
Sejak lima tahun lalu, sejumlah harta karun dan artifak unik ditemui antaranya batu permata, cincin emas, syiling dan loceng gangsa sami.
Paling luar biasa setakat ini ialah patung Buddha bersaiz besar bertatahkan permata dari abad ke-8 yang dianggarkan bernilai jutaan pound.
Kesemua artifak ini dipercayai wujud pada zaman Srivijaya, sebuah kerajaan antara abad ke-7 dan ke-13 yang tiba-tiba lenyap satu abad kemudian.
“Ramai ahli sejarah yang cuba ‘memburu’ khazanah Srivijaya sehingga ke Thailand dan India, namun tidak banyak yang ditemui,” kata Dr Sean Kingsley, seorang ahli arkeologi maritim Britain kepada portal Mail Online.
”Bahkan di Palembang, lokasi kerajaan itu lenyap, para ahli arkeologi gagal mencari bahan bukti yang cukup walaupun untuk sebuah perkampungan kecil.
“Srivijaya benar-benar cermat menjaga rahsianya.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, barulah kita menemui barangan luar biasa.
“Duit syiling, patung emas Buddha, permata dan semua jenis barangan yang mungkin anda baca dalam kisah Sinbad, tetapi ia sebenarnya wujud di alam nyata,” tambahnya.
Empayar Srivijaya berasal dari Palembang di pulau Sumatera tetapi memperluaskan pengaruhnya dan menguasai Selat Melaka.Tidak jelas mengapa kerajaan itu runtuh.
Kingsley mengakui sering terfikir jika ia mengalami nasib yang sama seperti Pompeii yang ‘hilang’ akibat bencana gunung berapi atau mungkin dilanda badai, ditelan arus sungai yang deras.
Selain aktiviti pencarian oleh nelayan tempatan, belum ada operasi pencarian atau penggalian rasmi, yang sekali gus menjadi punca mengapa banyak persoalan tidak terjawab, lapor Guardian.