26 OKT : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan pihaknya menahan16 orang pengarah syarikat dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula petang semalam kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan jutaan Ringgit peruntukan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Semua individu terbabit yang berusia antara 24 tahun dan 68 tahun yang dikaitkan dengan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Siasatan dibuat di bawah seksyen 16 (a) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Satu sumber mendedahkan, SPRM kini menjalankan siasatan berhubung kira-kira 60 peratus daripada peruntukan geran yang diberikan melalui MITRA tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.
Kata sumber tersebut, puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan terbabit, yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Menurut sumber itu lagi, siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang disalurkan oleh MITRA bermula tahun 2018 hingga kini dan setakat ini SPRM mendapati tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan.
MITRA distruktur semula pada tahun 2018 ketika pentadbiran Kerajaan PH dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.