27 OKT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) amat prihatin terhadap kes keganasan rumah tangga yang sering diperkatakan.
Berikutan itu, KPWKM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah memilih 12 masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga.
Timbalan Menteri, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, berkata pusat berkenaan menyediakan khidmat nasihat, sokongan psikologi serta kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga dalam usaha membina masyarakat harmoni.
Selain itu KPWKM dan JAWI juga mewujudkan dua pusat transit, mangsa keganasan rumah tangga untuk mendapatkan perlindungan sementara iaitu di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
“Inisiatif ini adalah di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi
keperluan psikososial dan rohaniah (spiritual).
“Program berkonsepkan perlindungan segera kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid ini diberi kepada mangsa keganasan rumah tangga sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira agama.
“Di pusat transit, mangsa akan diberi kaunseling dan bimbingan rohaniah (spiritual) oleh pegawai masjid serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlatih. Mangsa akan tinggal di asrama, diberi makan minum sepanjang berada di situ, selain disediakan set persalinan pakaian, selimut, tuala dan peralatan kebersihan diri,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan, Ahli Parlimen PH-Merbok, Nor Azrina Surip meminta menteri berkenaan menyatakan berapa ramai pemandiri keganasan rumah tangga yang telah dilindungi di Masjid sebagaimana yang diwar-warkan oleh KPWKM dan Menteri Agama sebelum ini.
Bagaimanapun, Siti Zailah berkata setakat hari ini, seorang pemandiri keganasan rumah tangga telah dilindungi di Masjid Wilayah Persekutuan dan tiada peruntukan yang diperuntukkan bagi program perlindungan ini.