27 OKT: Amerika Syarikat (AS) buat pertama kalinya sejak bertahun-tahun mengkritik Israel kerana rancangan rejim Zionis mahu membina ribuan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat menentang keras usaha pembinaan penempatan haram baharu di wilayah Palestin itu.
Reaksi Biden jelas berbeza ketika AS berada di bawah pentadbiran Presiden AS ke-45, Donald Trump yang memberikan lampu hijau kepada Israel untuk meneruskan pembinaan penempatan haram Yahudi.
Bagaimanapun, Jabatan Negara di bawah pentadbiran Biden kerap kali memberi amaran tentang pembinaan penempatan haram tersebut dan pada Selasa lalu, ia mengkritik Israel dengan tegas selepas rejim Zionis meneruskan rancangan itu.
“Kami berasa amat bimbang tentang rancangan Israel untuk menambahkan unit-unit penempatan Yahudi termasuk pengeluaran tender lebih 1,300 unit kediaman Ahad lalu,” kata Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.
“Kami menentang kuat penambahan penempatan itu yang tidak konsisten dengan usaha mengurangkan ketegangan dan memastikan ketenangan tetapi ia (Israel) merosakkan prospek untuk penubuhan dua buah negara,” tambahnya lagi.
Menurutnya, pihaknya berpendapat rancangan untuk mengesahkan pembinaan penempatan haram itu sebagai tidak boleh diterima.
Kira-kira 475,000 orang Yahudi Israel menduduki penempatan di Tebing Barat yang sudah ditetapkan sebagai haram bawah undang-undang antarabangsa.
Pada Jun lalu, ramai wakil-wakil rakyat Parti Demokrat telah menyatakan tentangan mereka terhadap polisi-polisi Israel.