29 OKT: Kerajaan memperuntukan RM11.4 bilion menerusi Bajet 2022 bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum di negara ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, RM6.6 bilion disalurkan bagi kemudahan pendidikan anak Bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Peneraju (PENERAJU).
Beliau berkata peruntukan berkenaan disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.
“Sebanyak RM4.8 bilion pula adalah untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.
“Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000 serta dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025,” katanya ketika pembentangan Bajet 2020 di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan RM200 juga bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek berskala kecil perolehan.
Beliau berkata sebagai tambahan, kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan accelerator programme khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan RM10 juta.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan memperuntukan RM2.5 bilion menerusi Bajet 2022 bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar selaras dengan usaha mengurangkan jurang antara wilayah.
Tengku Zafrul berkata sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan bagi projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, membabitkan jarak 519 kilometer bagi manfaat lebih 130,000 penduduk.
Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM382 juta untuk bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif yang disasar memanfaaatkan 4,800 rumah.
“Selain itu, RM485 juta untuk bekalan elektrik luar bandar yang menyasarkan 2,100 rumah, RM107 juta pula bagi pemasangan 7,000 unit lampu jalan, penyelenggaraan 500,000 unit lampu jalan, naik taraf 20 jambatan uzur dan kerja awal bagi 30 jambatan baharu.
“Sebahagian besar daripada peruntukan ini adalah untuk pembangunan infrastruktur Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI