29 OKT: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM9.8 bilion kepada negeri Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2022.
Berikutan itu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Sabah dan Sarawak akan menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion dalam Bajet 2022.
“Peruntukan inia antaranya bagi melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.
“Keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah penting bagi memastikan semua ahli keluarga Malaysia menikmati hasil pembangunan,” katanya pada pembentangan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama bersifat komprehensif dan inklusif, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.
Tiga matlamat utama Bajet 2022 adalah melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul beliau berkata tindakan itu perlu kerana masih ramai penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak ada yang terpaksa menempuh jalan balak dan memakan masa berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan di pekan berdekatan.
Justeru itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka seperti penduduk di Kudat dan Long Pasiah di Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak.
“Oleh itu, bagi tahun hadapan, kerajaan akan terus memberikan subsidi sebanyak RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat.
“Sebanyak RM1.5 bilion disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak.
“Bagi menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan pula katanya, sebanyak RM10 juta disediakan untuk tujuan itu,” katanya.