30 OKT: “Saya tidak faham bab-bab tersirat, faham yang tersurat sahaja,” kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung kerjasama antara parti itu bersama UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Hamzah, tindakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak menyebut nama BERSATU ketika mengumumkan kerjasama bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) memberi gambaran tiada kerjasama antara kedua parti itu.
“Kalau apa yang saya baca, Setiausaha Agung UMNO tidak sebut nama parti saya, BERSATU.
“Kalau daripada penerimaan dan pemahaman kita orang biasa, maknanya UMNO tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.
Jelas Hamzah, apa yang difahami beliau daripada keputusan itu adalah yang tersurat.
“Saya tidak faham bila sesuatu yang dikeluarkan dalam media, yang saya faham yang tersurat.
“Jadi yang ada di situ itulah, yang mereka mahukan. Yang tersirat itu saya tidak faham.
“Kalau dia katakan itu sebenarnya macam ini atau itu, ia terpaksa dibincangkan dahulu, baru saya boleh jawab,” katanya.