5 NOV: Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yakin BN mampu memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka walaupun terpaksa bertanding sendirian tanpa Perikatan Nasional (PN).
“Saya nampak peluang itu besar kerana BN akan menampilkan ramai calon anak muda dan calon-calon baharu yang ada potensi untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Dilihat dengan perkembangan dan perubahan landskap politik baharu BN yang serba dinamika dan bersikap terbuka dengan pandangan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO untuk mengenengahkan wajah-wajah baharu dalam kepimpinan dan PRN Melaka ini, insya-Allah, BN mampu sambung kesinambungan pembangunan dan ekonomi yang tergendala sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau berharap Ketua Pemuda Negeri Melaka Fairul Nizam Roslan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rais Yasin dan Datuk Dira Abu Zahar dan Ketua Pemuda Jasin, Dr Akmal Saleh dapat diangkat menjadi calon dan diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata, walaupun PRN Melaka berlaku kerana konflik dalaman parti, tetapi UMNO sangat berprinsip dan telahpun membuang dua Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti berkenaan.
“Saya juga ingin sama-sama berpesan kepada rakyat negeri Melaka, tentang apa yang telah berlaku sepanjang tempoh Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dan negeri serta kemelut perbalahan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang sehingga kini masih berlaku dan menunggu masa untuk berpecah.
“Pilihlah BN, parti yang berprinsip, yang mampu membangun ekonomi rakyat dan negara, menjaga keharmonian pelbagai bangsa dan sentiasa cakna dan prihatin kepada rakyat serta sentiasa turun padang membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas ADUN menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan BN/PN tumbang.
Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Pada PRU-14, BN bertanding di semua 28 kerusi DUN, tetapi hanya menang 13 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada PRU-13.